Siri Sejarah Kolonialisme
Merentasi pembacaan dalam Siri Sejarah Kolonialisme, pembaca akan bertamu dan bergulat dengan sebuah sorotan kepada evolusi sejarah penjajahan global, sebermula awalannya mereka di Eropah ingin “mencari” laluan perdagangan baharu di lautan, sehinggalah kepada mendekamnya hegemoni ekonomi pada abad moden kini.
Siri 12 jilid ini bukan sekadar mengungkap tarikh-tarikh dan babak-babak dalam sejarah; bahkan menganjur sebuah naratif global mengenai pembolotan kuasa, mengenai penjarahan sumber, dan juga mengenai sifat kemanusiaan itu sendiri. Pembaca akan dapat mencerakinkan mekanikal pembangunan sesebuah empayar dan tentu sekali pengkisahan ini bermula dengan sikap manusia-manusia di Eropah yang mahu memperluaskan kekuasaan (justeru kekayaan) mereka—lantas mewujudkan persaingan baharu di tanah-tanah yang baru ditemui mereka.
Siri ini akan membawa pembaca mendepani hakikat hitam lagi menyayat akan kekayaan yang dicipta oleh penjajahan Eropah. Pembaca akan dibawa menelusuri realiti manusia diperdagangkan, manusia menjadi hamba dan nilai tukaran dalam pusingan kekayaan Eropah. Pembaca akan mencermati bagaimana manusia “bukan-Eropah” dihenyak, dibunuh sehingga jutaan jiwa melayang, diperhancurkan bahasa dan budaya mereka, diperlantaikan harga diri dan maruah mereka—demi kehalobaan kepada emas dan tanah-tanah jajahan.





