Hikayat Merong Mahawangsa: Pertarungan Wibawa di Jantung Kuasa adalah sebuah teks klasik moden yang berada pada suatu tempat istimewa dan tersendiri dalam kajian teks-teks Melayu abad ke-19. Sementara kebanyakan kajian-kajian lain menumpukan kepada tema-tema historiografi, Hendrik Maier melangkah setapak ke hadapan dengan membaca Hikayat Merong Mahawangsa, sebuah karya tradisional yang mengungkapkan sejarah Kedah, sebuah negeri kecil di utara Malaysia, menggunakan pendekatan Barthian. Pendekatan ini mempercayai bahawa sebuah karya itu adalah cebisan-cebisan tisu daripada teks-teks yang lain. Justeru sesebuah karya sebetulnya adalah bayang-bayang intertekstual daripada karya-karya lain yang dimanfaatkan. Budaya kesusasteraan Melayu (dan budaya kesusasteraan lain juga) dikenali dengan amalan-amalan budaya intertekstual dalam penghasilan teks-teks tradisional mereka. Hal ini, dihujahkan oleh Maier, berlaku kerana budaya lisan-dengar yang mencirikan kesusasteraan Melayu dan pengarang bergantung kepadanya untuk proses “pembinaan dan pemaknaan”.
Maier bukan sekadar membaca teks semata-mata tetapi beliau turut menelusuri sejarah Hikayat Merong Mahawangsa dengan menampilkan konteks sosial dan politik serta pergelutan pemikiran yang ditempuh oleh bangsa Melayu ketika dua kekuatan luar yang diwakili oleh Islam dan Barat menerobos masuk dengan lebih gencar ke alam Melayu tatkala teks warisan tradisi itu ditemui. Pergelutan pemikiran Melayu tradisional yang berhadapan dengan dua idea asing yang besar dan berpengaruh serta bagaimana elit bangsawan Melayu berunding dengan kedua-dua tenaga dan pemikiran ini menjadi latar dan juga intisari yang cukup penting dalam analisis Maier terhadap teks kesusasteraan Istana.