Cita Sempurna Warisan Sejarah disampaikan dalam bentuk syarahan menerusi siri Syarahan Umum Bangi pada tahun 2000 oleh Syed Hussein Alatas, dengan beliau menggagaskan idea cita sempurna dan konsep jadong buat pertama kalinya. Menurut Alatas, cita sempurna adalah suatu pandangan hidup yang menyeluruh dengan tujuan untuk mencapai masyarakat yang sempurna. Meskipun cita sempurna nisbi mengikut waktu dan tempat; tetapi landasan nilai dan gerakan emosi yang merupakan arus bawahnya bersifat sejagat dan tidak nisbi. Apa pun sistem masyarakat, keadaan apa pun yang berlaku, pada waktu mana pun dalam sejarah, unsur cita sempurna yang mutlak (absolute) harus dipisahkan daripada yang nisbi (relative).
Cita sempurna itu dihalangi oleh apa yang boleh disebut sebagai cita bencana. Cita bencana adalah semua yang bertentangan dengan cita sempurna. Cita bencana mempunyai tiga bahagian, yang pertama berkaitan dengan jenayah; yang kedua berkaitan dengan amalan perseorangan seperti salah guna dadah, gila judi atau ketagihan alkohol; dan yang ketiga berkaitan dengan nilai institusi dan kepercayaan masyarakat, yang akan diruntuhkan oleh cita bencana. Sifat cita sempurna para pemimpin berkait rapat dengan cita sejarah, yakni konsep ‘sempurna’ yang dipancarkan menerusi teladan sejarah. Masalah cita sejarah ini saya kaitkan dengan persoalan pembasmian rasuah dan penindasan. Pemimpin perlu dipengaruhi oleh cita sejarah yang mengandungi unsur moral yang tinggi. Jika cita sejarahnya tidak mengandungi unsur moral yang tinggi dan penuh dengan kemanusiaan, maka natijahnya akan buruk dan berbahaya kepada masyarakat.