Ketika Benedict Anderson memperkenalkan ‘imagined community’, beliau menekankan peranan simbol, naratif, dan budaya cetak dalam memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan individu yang tidak dikenali, lalu membentuk identiti negara-bangsa. Namun, konsep ini kurang membahaskan dinamika pertarungan ideologi dalam pergerakan massa. Sebaliknya, konsep ‘nation-of-intent’ yang saya usulkan menonjolkan sifat aktif pergerakan rakyat, yakni identiti nasional dibentuk melalui perebutan cita-cita kolektif, seperti yang terlihat dalam konteks nasionalisme Malaysia. Menariknya, F. Budi Hardiman melengkapkan perbincangan ‘imagined community’ dan ‘nation-of-intent’ dengan karya falsafah yang mengupas jiwa kolektif rakyat sebagai teras pembentukan massa. Jiwa Kolektif saya berani nyatakan sebagai karya pertama dalam bahasa Melayu yang berjaya menganalisis gumpalan fikiran dalam nasionalisme dengan penuh bergaya dan berwibawa.
– Shamsul Amri Baharuddin, Profesor Ulung, Pengasas-Pengarah, Institut Kajian Etnik (KITA)
⁕
Bagi pelajar dalam ilmu politik, rumus utama yang diajarkan sering tertumpu pada angka dalam demokrasi—“who gets what.” Namun, dua fasa penting kerap terabai; sebelum dan selepas perolehan angka. Pertama, terdapat proses kempen, rayuan, karisma, rencana, dan rundingan yang menuntut kecerdasan akal dan kepekaan emosi demi memikat khalayak. Kedua, timbul persoalan sama ada pemenang menjadi demokrat sejati dengan berani membuka ruang untuk kelak dikalahkan sekaligus mencerminkan kekuatan moral dan kehalusan budi. Melalui Jiwa Kolektif, F. Budi Hardiman dengan cemerlang menangkap tujuan kedua-dua fasa ini; yang pertama menyuburkan demokrasi, dan yang kedua mengelakkan totalitarianisme.
– Zaini Othman, Profesor Madya dan Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA)
⁕
Jiwa Kolektif adalah naskah intelektual yang memukau. Melalui pemikiran tokoh-tokoh besar seperti Simmel, Broch, Canetti, dan Arendt, buku ini menyuguhkan analisis cemerlang tentang dinamika kolektif manusia—sebuah tema yang semakin relevan di tengah gelora politik, disinformasi digital, dan krisis global dewasa ini. Buku ini bukan sekadar bacaan, melainkan panduan penting untuk memahami bagaimana kesadaran bersama terbentuk dan diarahkan. Malah, buku ini juga berjaya menggali fenomena massa dari kacamata pelbagai disiplin dengan tajam dan mendalam. Sebuah sumbangan monumental dalam wacana sosial mutakhir. Jiwa Kolektif adalah adikarya pemikiran sosial yang cerdas dan sangat tepat pada waktunya.
– Budhy Munawar-Rachman, Dosen Sekolah Tinggi Filsafat (STF) Driyarkara, Jakarta
⁕
Manifesto adalah penegasan ideologi setiap parti politik. Lewat manifesto, rakyat memperoleh penjelasan mengenai dasar dan haluan parti: Ke arah mana parti politik ingin membawa rakyat. Namun, dasar dan haluan ini akan melencong sekiranya manifesto tersebut tidak berlandaskan pengetahuan yang pro-demokrasi dan anti-fasisme. Justeru, karya bermutu F. Budi Hardiman ini adalah segudang pengetahuan yang menjadi bekalan dalam menambah pengetahuan. Kandungan dalam naskah ini bukan sahaja memberi ilham bagi penghasilan manifesto politik yang berorientasikan rakyat, tetapi juga dapat memandaikan ahli politik. Ringkasnya, setiap parti politik sepatutnya memiliki manifesto, dan setiap ahli politiknya sepatutnya mendalami Jiwa Kolektif.
– Mohd Najwan Halimi, Ahli Dewan Undangan Negeri, Parti Keadilan Rakyat
⁕
Perkara yang dibincangkan oleh F. Budi Hardiman dalam siri kuliah tentang fenomena massa ini sebenarnya amat dekat dengan pengalaman negara-negara ASEAN. Dalam perkembangan masyarakat, sentiasa wujud gerakan yang mempengaruhi pembentukan massa. Walau bagaimanapun, kerangka pembentukan massa di ASEAN sedikit sebanyak berbeza daripada perspektif Georg Simmel, Hermann Broch, Elias Canetti, dan Hannah Arendt. Perbezaan ini berpunca daripada pemboleh ubah yang berlainan, seperti budaya, agama, dan sejarah. Bagi mereka yang mengkaji fenomena pembentukan massa dalam konteks masyarakat Eropah atau masyarakat dunia yang mengikuti cara hidup Eropah, buku ini dengan cemerlang mendedahkan hakikat tersebut. Namun, bagi mereka yang mempunyai pandangan berbeza, buku ini mampu membuka sikap kritis dan melorongkan pengetahuan baharu. Apa yang pasti, buku seumpama ini amat jarang ditemui dalam konteks pendidikan falsafah dan pemikiran di Malaysia. Kehadiran Jiwa Kolektif membuatkan kita tertanya-tanya: Adakah terdapat pemikir Malaysia yang sefasih ini?
– Mohamad Alinor Abdul Kadir, Presiden Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia
⁕
Manusia itu makhluk sosial, kata Francis Fukuyama sewaktu menolak tesis Thomas Hobbes. Namun daripada keluarga kepada masyarakat, daripada kelompok kepada massa, ada jalan kabur dan tidak lurus. Nilai hidup, tradisi, agama, budaya dan politik, atau apa-apa lagi unsur bersama, terangkum dalam keperibadian seseorang sehingga tenggelam kesedaran diri, hanya terikut-ikut arus massa. Jiwa Kolektif menyediakan sisi pandang bagaimana memanfaat daya hidup bersama tetapi mengekalkan kesedaran diri melalui teori massa empat filsuf: Georg Simmel, Hermann Broch, Elias Canetti dan Hannah Arendt. Tema-tema politik identiti, masyarakat warga, dan arus nasionalisme etnik akan lebih mudah difahami setelah naskah ini fahami. F. Budi Hardiman tidak diragui lagi tangkas mengolah fenomena massa ini setanding karya-karyanya di Indonesia.
– Fathi Aris Omar, Pengamat Politik dan Budaya
⁕
Jiwa Kolektif menawarkan satu analisis kritis tentang pembentukan massa dalam kesedaran serta masyarakat manusia. Pada zaman teknologi maklumat yang kian menghubungkan manusia dengan kesedaran berbeza-beza, terdapat kecenderungan untuk setiap individu menyertai entiti-entiti ‘massa’ yang dilatari kesedaran yang saling mereka kongsi bersama. Hal ini diperkukuh menerusi algoritma media sosial yang menyusun atur setiap maklumat sesuai dengan kecenderungan individu, lantas menjadikan apa-apa fikiran—baik yang terpuji mahupun yang cabul—saling disokong lalu membentuk satu semesta wacana dengan kerumunannya sendiri. Dalam konteks inilah, analisis F. Budi Hardiman tentang fenomena pembentukan massa relevan. Ia melangkaui analisis ringkas seputar kecenderungan politik, kemiripan budaya, atau sistem sosial semata-mata. Dasar-dasar metafizik terhadap cara manusia berinteraksi dengan masyarakatnya sendiri turut disentuh, menjadikan buku ini satu sumber renungan yang berharga untuk para penikmat dan pengkaji falsafah. Ringkasnya, buku ini mempunyai dua kekuatan terbesar. Pertama, ia menimbulkan persoalan yang jelas tentang cara manusia mengharmonikan ironi kemasyarakatan—antara kebebasan dengan tirani, individu dengan kerumunan, tindakan rasional dengan kespontanan, dan masyarakat bersistem dengan kehuru-haraan. Kedua, ia menyediakan asas analisis falsafi yang inovatif untuk menganalisis bentuk-bentuk autoritarianisme baharu seiring dengan kemajuan teknologi terkini, evolusi wacana politik dalam pelbagai bentuk, serta kemajmukan masyarakat yang semakin rumit.
– Hazman Baharom, Pensyarah, Program Bahasa Melayu, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS)
⁕
Manusia yang berkumpul digerakkan oleh pelbagai impian, hasrat dan beban—ada yang tajam, ada yang tumpul. F Budi Hardiman menghidangkan wawasan yang mencerahkan daripada para filsuf terkemuka Barat, menyingkap fenomena massa melalui pengantar yang merangkumi sejarah (masa lalu), cabaran (masa kini), dan harapan (masa depan). Telaah ini mengajak kita menjaga nurani kritis agar tetap jernih, suci, dan bebas daripada belitan kekusutan.
– Azhar Ibrahim, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS)