Skip to content

Politics

Surah-surah Terlarang: Persoalan Nasional

Paperback

Price
RM32.00
ISBN
9789671681008
Published
1 January 2019
Copyright
2019
Pages
xxiii + 166
Size
13.97 x 21.59 cm
Language
Malay

Overview

Hishamuddin Rais dalam Surah-surah Terlarang: Persoalan Nasional mungkin kelihatan seperti ‘kasar’ dan tidak lunak dari sudut gaya bahasanya yang tajam menusuk serta ‘tidak sensitif’ apabila menggunakan beberapa perkataan yang ‘terlarang’ dalam penulisan buku beliau ini. Akan tetapi beliau jujur dan berterus-terang menyatakan buah fikiran serta perasaannya tanpa berselindung. Seperti kata beliau dalam buku ini—persoalan nasional perlu dihadapi seperti seorang matador yang memegang tanduk sang seladang jantan secara berhadapan. Persoalan nasional dalam sebuah negara yang rencam bangsa, budaya, agama dan bahasa rumit untuk diselesaikan. Ianya menuntut kesabaran yang tinggi, tolak-ansur yang besar, jiwa yang lapang serta fikiran yang jernih dan tenang untuk merungkaikannya.

Barangkali mungkin ini yang diperlukan untuk memulakan wacana persoalan nasional, suatu persoalan yang sudah lama kita tinggalkan. Kali terakhir perbahasan tentang persoalan nasional diangkat sebagai wacana besar di peringkat kebangsaan ialah di dalam Debat Kebudayaan antara Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Lim Kit Siang pada November 1968. Malangnya kurang daripada enam bulan selepas itu terjadi rusuhan antara kaum 13 Mei 1969.

Sejak daripada itu wacana persoalan nasional diketepikan dari perbincangan arus perdana. Ideologi ‘pembangunanisme’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘developmentalism‘ menjadi wacana dominan negara. Usaha-usaha untuk meramaikan lagi usahawan dan kelas menengah bumiputera khususnya, menjadi tumpuan utama. Persoalan nasional ditinggalkan dan hanya sekali-sekala sahaja ianya dibangkitkan oleh kelompok-kelompok kecil khususnya dari kaum budayawan dan sasterawan.

Namun di sebalik cantik dan cela pembangunan yang kita sama-sama nikmati di tanah air kita ini, persoalan nasional tetap tak terselesaikan. Malahan manifestasi kepada persoalan nasional yang tak selesai ini dapat kita lihat melalui penggemblengan massa yang semakin gencar dilakukan baik oleh parti-parti politik mahupun organisasi-organisasi masyarakat sivil yang masih terus-menerus menggunakan sentimen etnik dan agama untuk meraih sokongan serta dukungan politik.

Justeru dengan wujudnya ruang demokrasi yang lebih luas sekarang berbanding sebelumnya, kami merasakan perlu untuk diterbitkan dan disunting penulisan Hishamuddin Rais tentang persoalan nasional dengan lebih kemas dan tersusun, agar ianya dapat dijadikan bukan sahaja dokumen perjalanan sejarah pemikiran bangsa kita tetapi juga sebagai wahana untuk membuka kembali perbincangan mengenai persoalan nasional yang telah lama kita pinggirkan.

Membaca Surah-Surah Terlarang memerlukan pemahaman konteks dan kondisi politik pada waktu ianya ditulis.

Terdapat 19 Bab di dalam buku ini. Bab 1 hingga Bab 15 ditulis sebelum pertukaran kerajaan, iaitu pra-PRU14. Justeru rujukan, perkataan, susunan ayat, tujuan dan sasaran tulisan Hishamuddin Rais dalam Bab 1-15 perlu dibaca dalam konteks ketika UMNO dan Najib Razak masih berkuasa. Manakala tulisan-tulisan beliau berikutnya yang terkandung di dalam Bab Epilog (1-4), perlu dibaca dalam konteks selepas pertukaran kerajaan yakni pasca-PRU14.

Walau pun terdapat dua konteks yang berbeza ketika bab-bab itu ditulis, namun intipati kepada apa yang ingin disampaikan oleh Hishamuddin Rais tetap relevan. Malahan ianya menjadi lebih relevan lagi apabila selepas kejatuhan UMNO dan Najib Razak, persoalan yang melibatkan isu etnik, agama, budaya, sekolah, bahasa, identiti nasional dan jati diri negara-bangsa Malaysia menjadi lebih panas dan hangat lagi. Suatu manifestasi yang menurut Hishamuddin Rais dalam bukunya ini terhasil akibat daripada kegagalan untuk menyelesaikan persoalan nasional.

Contents

Prakata

1. Mukadimah
2. Manifestasi Kegagalan
3. Kehadiran Yang Lain
4. Quo Vadis Tanah Melayu?
5. Pertembungan Pertama
6. Suatu Sejarah Tragedi
7. Trauma Pemisahan
8. Aparatus Kekuasaan
9. Dari Runtuhan Peradaban
10. Dikepung dan Terkepung
11. Menundukkan Seladang
12. Mengangkat Budaya Pentakrif
13. Yang Lain Menguasai Ekonomi
14. Kehendak Untuk Berubah
15. Menemukan Keperibadian Nasional

Selepas kejatuhan
– Mengulang Tanya Persoalan Nasional
– 13 Mei—Tanda dan Makna
– Perihal Identiti dan Melayu
– Siapa Melayu?

Bibliografi

Author(s)

Hishamuddin Rais

Hishamuddin Rais tidak mungkin boleh diletakkan dalam kategori kerja yang khusus. Di sepanjang hidupnya, beliau telah memegang pelbagai jenis watak daripada pelayan restoran, tukang masak, wartawan, penulis, pembikin filem, pengarah teater, ‘stand-up comic’, pembaca berita BBC sehinggalah kepada peranan beliau sebagai seorang intelektual awam dan juga ‘penghasut politik’ nombor wahid di Malaysia. Beliau yang merupakan keturunan suku Biduanda, dilahirkan di Jelebu, Negeri Sembilan dan mendapat pendidikan tinggi pertama di Universiti Malaya dalam pengajian Sejarah. Namun begitu beliau tidak sempat menamatkan pengajian apabila berlakunya tangkapan terhadap aktivis-aktivis mahasiswa pada tahun 1974. Berjaya meloloskan diri dari pihak berkuasa, beliau berkelana sebagai pelarian politik di Thailand, Australia, Pakistan, Russia sehingga akhirnya diberi suaka politik oleh kerajaan Belgium. Di sana beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan Bahasa Perancis di Université catholique de Louvain. Selepas dua tahun, beliau kemudiannya berpindah ke London dan menetap di sana selama 15 tahun. Di London beliau mengambil jurusan seni fotografi, video dan filem dari University of Westminster dan berjaya memperolehi ijazah sarjana muda. Beliau dibenarkan pulang ke Malaysia pada tahun 1995 dan terjun ke dalam dunia politik sebagai aktivis yang bertanggungjawab menggembleng massa dalam era Reformasi 1998. Keterlibatannya dalam era reformasi sekali lagi telah menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan tanpa bicara selama dua tahun di bawah ISA. Sepanjangan penglibatan beliau dalam aktivisme politik, sosial dan budaya, beliau telah menghasilkan sebuah filem Dari Jemapoh ke Manchestee (1998) dan lima buah buku iaitu Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya (2002), Keganasan, Penipuan & Internet (2008), Tapai: Travel and Guilty Pleasures of a Fermented Malaysian (2010), Tertangkapnya Sa-ekor Toyo: Surat dari Teoh Beng Hock (2011) dan Tipu Pilihan Raya, Turun Jalan Raya (2013).

Accessibility