Charles Van Doren

Charles Van Doren (1926–2019) ialah seorang sarjana, penulis, dan editor dari Amerika Syarikat yang dikagumi kerana kedalaman pemikiran intelektual beliau serta gaya komunikasi dan penyampaian beliau yang cukup memikat perhatian ramai. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga kesusasteraan dan intelektual yang terkenal di Amerika. Bapa beliau ialah Mark Van Doren, seorang penyair yang pernah memenangi Hadiah Pulitzer, yang merupakan antara anugerah sastera yang terkemuka dan berpengaruh di Amerika Syarikat. Charles Van Doren memperoleh ijazah kedoktoran (Ph.D) dari Universiti Columbia, dan turut mengajar bahasa Inggeris di universiti tersebut.

Beliau mula dikenali di pentas kebangsaan Amerika Syarikat pada tahun 1950-an menerusi penampilannya beliau dalam rancangan kuiz televisyen, Twenty-One. Beliau mengembangkan usaha ilmiah beliau dalam bidang akademik dengan menjadi editor untuk Encyclopedia Britannica. Di situ beliau telah bekerjasama rapat dengan Mortimer J. Adler. Beliau juga turut menghasilkan pelbagai penulisan dan buku dalam pelbagai bidang di sepanjang kerjayanya sebagai ahli akademik. Kerjasama beliau dengan Adler dalam penulisan buku klasik yang cukup penting, iaitu How to Read a Book kekal sebagai rujukan berpengaruh dalam pendidikan literasi dan kemahiran membaca yang bersifat praktikal.