Mortimer J. Adler
Mortimer J. Adler (1902–2001) ialah seorang ahli falsafah, sarjana di bidang pendidikan, dan penulis yang aktif serta prolifik dari Amerika Syarikat. Beliau merupakan tokoh pendidikan yang mendukung teguh sistem pendidikan berasaskan sastera liberal, iaitu pendidikan yang menumpukan kepada usaha untuk mempertingkatkan pengetahuan am, mengembangkan keupayaan intelektual dan menajamkan kemahiran pemikiran kritis di kalangan para pelajar di Amerika Syarikat. Beliau juga adalah pelopor dan penyokong tegar kepada ‘Great Books Tradition’, iaitu suatu gerakan pendidikan yang mengajukan kepada keperluan untuk membaca dan mengkaji karya-karya agung yang berpengaruh, yang merupakan karya penting yang menjadi asas kepada bidang-bidang seperti falsafah, sastera, sains, politik dan sejarah. Beliau telah mendedikasikan hampir keseluruhan hidup beliau untuk memperluas kefahaman masyarakat terhadap idea-idea falsafah yang mendalam.
Beliau pernah menjadi profesor di Universiti Columbia dan Universiti Chicago di Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan antara pengasas utama yang menubuhkan Institute for Philosophical Research, dan kemudiannya beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Editor Encyclopedia Britannica, di mana beliau memimpin projek ‘Syntopicon’, yang menjadikan ensiklopedia sebagai sebuah bahan bacaan yang inovatif. Sepanjang kerjayanya, Mortimer Adler telah menulis atau menulis secara bersama dengan beberapa tokoh lain untuk menghasilkan lebih daripada lima puluh buah buku, termasuklah karya penting beliau, How to Read a Book atau Seni Membaca Buku. Pemikiran dan penulisan beliau sentiasa menekankan kepada peri pentingnya pemikiran kritis dan pembelajaran sepanjang hayat.