Hishamuddin Rais

Hishamuddin Rais tidak mungkin boleh diletakkan dalam kategori kerja yang khusus. Di sepanjang hidupnya, beliau telah memegang pelbagai jenis watak daripada pelayan restoran, tukang masak, wartawan, penulis, pembikin filem, pengarah teater, ‘stand-up comic’, pembaca berita BBC sehinggalah kepada peranan beliau sebagai seorang intelektual awam dan juga ‘penghasut politik’ nombor wahid di Malaysia. Beliau yang merupakan keturunan suku Biduanda, dilahirkan di Jelebu, Negeri Sembilan dan mendapat pendidikan tinggi pertama di Universiti Malaya dalam pengajian Sejarah. Namun begitu beliau tidak sempat menamatkan pengajian apabila berlakunya tangkapan terhadap aktivis-aktivis mahasiswa pada tahun 1974. Berjaya meloloskan diri dari pihak berkuasa, beliau berkelana sebagai pelarian politik di Thailand, Australia, Pakistan, Russia sehingga akhirnya diberi suaka politik oleh kerajaan Belgium. Di sana beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan Bahasa Perancis di Université catholique de Louvain. Selepas dua tahun, beliau kemudiannya berpindah ke London dan menetap di sana selama 15 tahun. Di London beliau mengambil jurusan seni fotografi, video dan filem dari University of Westminster dan berjaya memperolehi ijazah sarjana muda. Beliau dibenarkan pulang ke Malaysia pada tahun 1995 dan terjun ke dalam dunia politik sebagai aktivis yang bertanggungjawab menggembleng massa dalam era Reformasi 1998. Keterlibatannya dalam era reformasi sekali lagi telah menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan tanpa bicara selama dua tahun di bawah ISA. Sepanjangan penglibatan beliau dalam aktivisme politik, sosial dan budaya, beliau telah menghasilkan sebuah filem Dari Jemapoh ke Manchestee (1998) dan lima buah buku iaitu Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya (2002), Keganasan, Penipuan & Internet (2008), Tapai: Travel and Guilty Pleasures of a Fermented Malaysian (2010), Tertangkapnya Sa-ekor Toyo: Surat dari Teoh Beng Hock (2011) dan Tipu Pilihan Raya, Turun Jalan Raya (2013).