Mohd Rosli Ibrahim

Mohd Rosli Ibrahim lahir pada 22 April 1973 di Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ibrahim I, Pasir Mas (1980-1981) sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu (1980-1986) setelah disahkan oleh JKM sebagai OKU penglihatan. Kemudian, beliau melanjutkan pendidikan menengah di St. John’s Institution, Kuala Lumpur (1987-1991)—dalam program kelas percantuman. Beliau aktif menulis di media sosial dan merupakan antara penggerak kesedaran isu-isu OKU dalam masyarakat di Malaysia. Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Mobilisasi bagi menggerakkan OKU Bangkit 2012. Beliau turut terlibat dalam bengkel-bengkel Disability Equality Traning (DET) di universiti dan jabatan kerajaan, serta Audit Akses di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Selain menulis, beliau turut aktif menyampaikan kuliah seputar isu-isu OKU dan falsafah, serta membentangkan makalah dan kertas kerja dalam seminar-seminar falsafah, seni dan budaya di Malaysia. Beliau telah menerbitkan dua buah buku iaitu O.K.U. Bangkit (2014) dan Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU Penglihatan (2015). Fokus penulisan beliau meliputi persoalan agama, falsafah dan dunia wacana perbukuan. Tumpuan penulisan beliau berkaitan OKU dalam perspektif Islam dan kebudayaan Melayu.