Syed Hussein Alatas
Syed Hussein Alatas lahir di Bogor pada tahun 1928, kemudiannya berpindah ke Johor Bahru untuk memulakan pendidikan awal, sebelum terpaksa pulang semula ke Jawa Barat sewaktu Perang Dunia Kedua. Di sana, beliau menyaksikan revolusi Indonesia dan pergerakan kemerdekaan, sebelum kembali ke Malaya untuk melengkapkan pendidikannya. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian di University of Amsterdam. Setelah memperoleh PhD (1963), beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura pada tahun 1967, sebelum menjawat sebagai Naib Canselor di Universiti Malaya pada tahun 1988 sehingga 1991. Karya-karya beliau meliputi kritik wacana kolonial, sosiologi rasuah, pengajian kemodenan dan pembangunan, historiografi dunia Melayu dan pemikiran Islam. Hal yang mendasari semua karya beliau melibatkan permasalahan penjajahan intelektual, kemeruduman fungsi intelektual di negara-negara dunia ketiga, dan juga membangunkan kerangka pemikiran ilmu mandiri (autonomous knowledge).