Faisal Tehrani
Faisal Tehrani (nama sebenarnya Mohd Faizal Musa) adalah seorang pengarang asal Malaysia. Faisal telah memenangi aneka anugerah sastera dan sering dianggap seorang yang kontroversi lantaran gemar bereksperimen, baik menerusi bentuk (form) ataupun kerana mengetengahkan wacana alternatif dalam karya-karyanya. Antara novel-novel beliau yang diingati adalah 1515 (diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis dan diterbitkan oleh Les Indes savantes), The Professor dan The Koro Riots (kedua-duanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Brigitte Bresson, dan masing-masingnya diterbitkan oleh Gerakbudaya dan Penguin).
Sebagai ahli akademik, sebahagian besar muatan tulisan ilmiahnya adalah mengenai hak asasi manusia dan wacana bukan arus perdana. Selain menulis esei dan novel, Faisal juga dikenali sebagai penulis drama dan filem. Faisal turut menghasilkan puisi tradisional panjang iaitu Syair Dukana Lubaba yang mengisahkan peristiwa berdarah pembunuhan keluarga Nabi Muhammad SAW di padang Karbala, Iraq.